Selepas kejadian sebuah Toyota Vios terbabas di Langkawi malam semalam yang kemudiannya diketahui ia dipandu seorang budak lelaki berumur enam tahun, timbul pula cerita mistik menyatakan bahawa ia membabitkan beberapa ‘makhluk’ lain termasuk ‘Tok Wan Berbulu’ yang memandu kereta tersebut.
Cerita tersebut mula ditularkan di aplikasi whatsapp, dan kini ia telah tersebar dipelbagai saluran media sosial lain termasuk Fb, Tiktok dan sebagainya. Namun cerita mistik ini dinafikan oleh pihak polis, dan mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut memang tahu setiap fungsi asas pada kereta dan tahu bagaimana untuk menggerakkannya.
Menurut polis dalam laporan Berita Harian, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kemampuan kanak-kanak lelaki terbabit mempelajari asas pemanduan kereta, seterusnya mengaplikasikan pada malam kejadian.
Dalam laporan akhbar itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari menyatakan bahawa berdasarkan keterangan kanak-kanak berkenaan, dia didapati tahu cara memandu kereta dan turut mengetahui fungsi dan kedudukan gear.
Budak 6 tahun bawa kereta? Mana mak ayah dia? Bahaya wey. pic.twitter.com/qMquTRkchS
— Bbiy. (@twtbiy) Could 10, 2023
“Berdasarkan siasatan didapati kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dengan menunjukkan bagaimana cara untuk turunkan brek tangan.
“Pemeriksaan rakaman kamera papan pemuka atau dashcam mendapati pemanduan tidak stabil, kadang-kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak itu juga boleh menunjukkan dengan betul cara menghidupkan enjin dan berjaya menghidupkannya apabila diminta oleh pegawai penyiasat.
“Justeru, kita menolak sebarang unsur mistik dalam kes kemalangan ini seperti mana yang didakwa dan tular oleh pihak tertentu menerusi pelbagai medium media sosial.
“Kanak-kanak berkenaan ada dibawa oleh kedua ibu bapa mereka ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Langkawi, jadi polis sudah menemubual awal mereka sebagai sebahagian siasatan,” katanya.
Shariman juga menerangkan dalam proses temubual itu kanak-kanak terbabit yang juga pemandu kereta menunjukkan cara bagaimana dia memandu pada malam kejadian.
Nasib baik Allah lindung… Allahmdulillah selamat, semoga lepas nie Semua kena hati2 takut terjadi lagi sebegini.. Budak…
Posted by Honeyzone Langkawi on Tuesday, 9 Could 2023
“Kanak-kanak itu mampu memberi penerangan fungsi gear D dan R kepada pegawai penyiasat, malah dia mengaku berjaya mengundur kereta terlebih dulu sebelum memandu keluar rumah pada pada malam kejadian.
“Difahamkan jarak rumah ke kedai yang ingin dituju oleh dua beradik itu adalah sejauh lima kilometer (km), tetapi separuh jalan mereka terbabit kemalangan,” katanya.
Hantaran-hantaran yang tular sebelum ini turut menyertakan rakaman audio perbualan suara kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian terbabit. Dia mendakwa dia tidak memandu kereta berkenaan, sebaliknya dipandu oleh ‘pak cik’ dan ‘tok wan’ (gelaran diberikan untuk datuk) yang mempunyai badan yang panas dan berbulu.
Laporan sebelum ini menyebut bahawa polis sudahpun memanggil ibu bapa tersebut pada tengah hari semalam untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.