Nampak gayanya kisah kemalangan jalan raya yang berpunca dari kenderaan memotong di jalan berselekoh, yang hanya ada satu lorong atau pun di garisan berkembar memang sukar menjadi pengajaran di kalangan segelintir pemandu.
Jika anda lihat video di bawah ini, boleh ‘mengucap’ panjang disusuli dengan mengecam tindakan pemandu Honda Metropolis berwarna merah yang memotong di garisan berkembar di laluan luar bandar, seperti yang dirakamkan menerusi dashcam kenderaan yang bertentangan dengannya. Mujur ada kawasan berumput di bahu jalan yang membolehkan kenderaan perakam mengelak dan berhenti mendadak di bahu jalan tersebut. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mengelak dari bertembung dengan Honda Metropolis terbabit.
Insiden tersebut berlaku pada 29 Ogos lalu dan dikongsikan menerusi laman Fb Muadzam Maju. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, insiden terbabit berlaku di KM124 Jalan Kuantan-Segamat. Menerusi rakaman video tersebut, Honda Metropolis dengan plat nombor pendaftaran JVC 9323 telah pun dapat dikesan, beralamat di Bukit Beruang, Melaka.
Dan disebabkan video berkenaan telah pun tular dan mendapat perhatian pihak polis, pemandu Honda berkenaan akhirnya menyerah diri di IPD Rompin pada 30 Ogos dan telah pun ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan pemanduan secara berbahaya.
Harap video yang tular ini mampu dijadikan pengajaran buat semua pemandu agar lebih berwaspada dan bertimbang rasa ketika memandu. Jangan kerana kealpaan kita, orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa. Selain itu, pentingnya ada dashcam di dalam kenderaan, kerana ia boleh juga dijadikan bahan bukti untuk kesalahan sebegini.